Sunday, August 28, 2011

HO di Hospital Muar

Alhamdulillah, aku diterima bekerja di Hospital Muar, pada 25hb Julai lalu.

Saat amat bermakna.
Dua hari pertama adalah orientasi tentang beberapa perkara penting seperti patology ,haematology, isi borang dan sebagainya. Hari ketiga adalah hari yang amat mendebarkan bila aku diberitahu posting mana yang aku akan dapat. POSTING SURGERY!!!

Huh... sangat sukar dan payah, namun kena hadapi dengan tabah!

Waktu bekerja 7am - 10pm.
Pada awalnya aku merasa tidak yakin mampu hadapi saat bekerja yang agak panjang dan membebankan. Namun setelah mencuba, alhamdulillah aku mampu harunginya dengan baik. Jam 6.30am aku keluar ke Hospital, menumpang kereta rakan sekerja.Jam 10pm lebih aku balik. Gelap pagi bertembung gelap malam.

Inilah kehidupan aku. Namun ia adalah ujian. Tagging aku 2 minggu untuk mengadaptasi di posting surgery. Alhamdulillah, dapat harungi dengan sebaiknya walaupun banyak kelemahan perlu dibaiki.

Berat badan aku hilang 5 kilogram dalam 2-3 minggu bekerja. Fuhh... Aku banyak minum air berbanding makan terutamanya masa puasa. Memang kuranglah diet.


Apapun, kena harungi posting ini dengan sebaiknya. Demi kejayaan masa depan.

Saturday, August 27, 2011

Doktor

Salam sejahtera wahai pelawat blog ini.


Alahamdulillah sudah sebulan aku menjadi HO di Hospital Pakar Sultanah Fatimah,the only hospital 'PAKAR' di Malaysia . Hehehe.

Pengalaman ?

Untuk tajuk pertama ini : Bersedia untuk menanggung salah rakan sekerja.


Kita akan lakukan terbaik untuk diri kita. Akan tetapi suatu masa, kita akan menanggung kesalahn orang lain.
Pengalaman aku, suatu hari itu, cubicle aku jaga, ada pesakit dari cubicle lain masuk dan 'plan' dia untuk buat CECT abdomen hari yang aku jaga. Semua borang sudah siap. Aku tak tahu sangat pasal pesakit ini kerana pagi itu aku belum sempat nak tengok pesakit tu, kawan aku sudah siap 'review ' patient tu untuk CECT scan. Maka, aku assume dia sudah bereskan. Tak perlu aku cover lagi patient tu.

Namun, apa yang berlaku, pesakit ini cancel buat scan CECT kerana ada allergy seafood yang telah dinyatakan dalam datanya tetapi borang scan CECT ditanda tiada allergy. Maka, terbatal appointment pagi itu. Aku terkejut juga. Aku tengok borang itu dan siapa yang buat. Malah pagi itu, rupanya tiada siapa yang perasan bahawa borang itu salah tanda dan tiada semakan oleh sesiapa pun. Aku pula percaya bulat-bulat pada kawan aku yang sudah review pesakit tersebut.

Impaknya, MO memanggil aku. " Fadzli, you know why this patient cancel CECT?!" . Aku dengan muka sedih dan bersalah, " Yes, i know. Because of allergy history. " Dalam hati aku, bukan aku yang siapkan borang itu semua. Namun, kerana aku yakin suatu masa nanti aku mungkin ada buat salah, maka, aku kena bersedia dengan keadaan sebegini. Aku mahu memberitahu siapa yang incharge pesakit itu sebelum ini, tetapi aku tidak mahu dia kena marah kerana dia pun letih dan penat dengan kerja. Maka, aku tabahkan hati menerima marah atas kesilapan orang lain. Lagipun , orang kata, aku ini bukanlah hebat mana pun. maka, inilah masanya aku belajar daripada kesilapan. Just do it!.

Maka, MO tersebut memberi amaran dan memaksa aku buat surat keterangan mengapa aku melakukan kesilapan. Kena hantar sebelum pukul 5pm. Aku siap type pukul 5pm. ahahaha!! Memang cari nahas. Aku call Dr MO tersebut.  Kena sound sebab hantar lewat, tapi dia terima juga.  Aku punyalah tunggu. Akhirnya, dia baca dan terima. Alhamdulillah, saat itulah yang aku suka walaupun rekod aku sudah tercalar. huhu..

 Pengajarannya, jangan ambil ringan dan pastikan semuanya  diurus dengan baik teratur dan tepat. InshaAllah berjalan lancar.

Ini salah satu pengalaman aku lah dalam minggu ini.

Aku belajar banyak dengan MO Hospital Muar. Terima kasih semua. :)

Friday, July 22, 2011

Berlatih Sebelum Bekerja


Alhamdulillah. Sempat lagi menulis.

InshaAllah, 25 Julai ni aku akan start bekerja. Mendapat tempat di hospital Sultanah Fatimah Muar. Alhamdulillah. Setelah tamat kursus induksi 19-22 Julai lalu, di Hotel Pemaisuri yang sangat selesa. Hospital Muar ini merupakan pilihan pertama aku. Ia amat mengujakan.


Orang kata " Dunia dan perangai kita semasa belajar di universiti atau di mana-mana saja, akan dibawa ke alam pekerjaan. Kalau masa student dulu suka meniru, maka masa kerja pun akan meniru. kalu masa students suka ponteng,maka masa kerja pun sukalah ponteng."

Inilah yang aku risaukan. Bukan mempercayainya sebagai suatu sumpahan. Akan tetapi ia ada benarnya, kerana itulah sikap kita. Kita mendidik sikap kita semasa alam pengajian lagi. Bukan tidak boleh diubah, tetapi perubahan itu amat sukar dan perlukan pengorbanan. Pengorbanan pula amat perit dan ia menyakitkan ada kalanya. Maka,siapa yang sudi mengambil risiko ini ? Melainkan mereka yang mempunyai motivasi dan azam yang tinggi.

Kawan satu sekolah aku pernah merungut dalam Facebooknya, " Inilah kerja aku di pejabat, copy and paste. Edit sikit-sikit dan hantar kerja. Siap. Samalah seperti zaman aku belajar di universiti dulu." Begitulah kisah dan kata-katanya yang aku ingat.

Ia menunjukkan bahawa sikap atau 'attitude' kita semasa alam pengajian amat penting dalam menggambarkan siapa kita semasa kerja.

Nasihat buat mereka dan aku yang masih belajar dan mahu belajar:

- Muhasabah diri selalu. Nilailah kelemahan dan kekuatan diri setiap hari agar ia dapat menghasilkan diri yang lebih baik daripada semalam.

" Aku selalu bertafakur, apakah pengajaran hari ini yang Allah berikan. Sehingga pernah aku terpijak seekor semut dan mati ,itu pun aku teringat. Memikirkan bahawa janganlah merasa besar sehingga orang yang kecil dan lemah itu dianiaya. Rendah diri dan hormati orang lain serta mahluk Allah di muka bumi ini.Kerana inilah apa yang rasululllah ajarkan. Muhasabah sentiasa. Setiap apa yang berlaku ada himahnya. Jadilah insan yang suka berfikir."


- Belajar dalam setiap apa keadaan pun. Sebelum itu, kenalah sedia untuk menerima teguran dan jangan sesekali merasa diri ini pandai dan tidak perlu diajar. Ego ini menyukarkan proses belajar. Bertanyalah dengan ikhlas jika tidak tahu. Jangan sombong.

-Masa. Inilah yang perlu dijaga. Tepati masa. Datang awal 5 minit sebelum temu janji atau kelas. Ia amat penting untuk membentuk peribadi yang berdisiplin.

" Kalau lambat ke kelas, maka lambatlah datang ke tempat kerja. Alhamdulillah, tahun 4 dan 5 zaman medical student dulu, aku mampu datang awal ke kelas. Walaupun ada kala tersangkut lewat kerana masalah kesihatan.  Namun, peningkatan ketepatan masa jelas pada tahun akhir kerana aku sudah faham perjalanan fasa klinikal di Hospital USM. Alhamdulillah. Ia amat memudahkan. Biasanya, aku antara orang yang terawal hadir di kelas. Ada kala pejabat belum buka pun aku sudah datang. Kerana, aku mahu ke ward lebih awal untuk selesaikan tugasan dan belajar perkara baru. Aku pelajar biasa, maka kenalah berusaha lebih untuk lebih maju dan menjadi doktor yang selamat. InshaAllah. Aku juga seorang MUSLIM , Rasulullah itu idola aku. Maka, aku cuba untuk menjadi sepertinya. Tidak menyusahkan orang lain dengan masalah attitude."

-Pengurusan masa juga penting. Lebih baik ada diari atau buku catatan perjalanan harian untuk mencatat apa yang perlu dibuat dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan.

" Orang kata, stress itu berpunca apabila kita tidak merancang dengan betul apa yang perlu kita lakukan. Kita tidak jelas dengan hidup kita. Banyak perlu dibuat sehingga kita tidak dapat membezakan yang mana penting dan kurang penting. Sebab itulah, diari amat diperlukan. Ia mampu menjelaskan dan memberi idea kepada kita untuk menyelesaikan tanggungjawab mengikut priority. Mengutamakan yang utama inilah konsepnya. Jika tidak, kita akan rugi.  Bila stress, duduklah sekejap. Dan fikirkan apa yang membuatkan kita kusut. Rancanglah apa yang perlu aku buat sekarang, selepas itu, petang ini, malam ini, esok dan seterusnya. Dan bertenang. Merancang itu amat hebat impak positifnya dalam hidup berbanding orang yang tiada perancangan. "


- Fokus semasa belajar. Memang ada kala kita lemah, mengantuk dan letih. Namun, kita kena kuatkan azam untuk terus mendengar dan catat apa yang perlu dibincangkan.

" Dalam situasi lemah dan mengantuk ini  yang memerlukan kita berbincang,memori kita juga terjejas dan kewarasan kita juga agak lemah. Jadi, catatlah apa yang dibincangkan atau apa-apa yang penting. Khuatir kita akan lupa. Inilah teknik aku untuk menghadapi saat mengantuk, letih semasa discussion. Ia menyelamatkan aku daripada hilang tumpuan. Tambahan pula, mencatat nota mampu mencergaskan otak daripada mengantuk."


- Sedia membantu. Walau sepenat mana, sesibuk mana, sebenci mana. Bila kita diperlukan dan diminta untuk membantu, cubalah untuk membantu. Jangan menolak. Cubalah.

" Aku terkenang seorang senior, Abang Gjol. Dia pernah membawa aku ke ward dan mengajar aku membuat pemeriksaan fizikal serta mengajar aku beberapa lagi topik ketika dia di tahun akhir. Masa itu aku di tahun 2 lagi. Aku kagum dengan kebaikannya walaupun dia mengaku dia bukan pelajar yang bagus atau cemerlang, tetapi dia cuba ajar. Alhamdulillah. Apa yang dia ajar melalui contoh teladan itu, telah aku tiru untuk turut sedia membantu junior atau sesiapa yang berada di ward. Aku ketika berada di ward, suka perhatikan junior. Aku tahu kebanyakan mereka akan loss, sepertimana aku dulu. Jadi, jika aku tidak ada hal sangat, aku cuba bertanya tujuan mereka di ward. Selepas itu , mulalah aku bertanya, tentang ilmu medic. 'sparing' sikit untuk refresh ilmu aku juga. Jarang sebenarnya senior nak tolong junior yang duduk senyap. Senior akan bantu bila junior bertanya,meminta tolong.Apapun, lain orang lain ragamnya. Aku pula, belajar daripada orang di sekitar aku. Yang baik, aku cuba serlahkan. Yang buruk akan aku jadikan pengajaran. "


Apapun, cabaran bekerja sudah bermula. Apakah kesudahannya. Hanya Allah yang tahu. Semoga aku mampu jalani dengan tabah dan kuat. Semoga aku dan rakan-rakan semua berjaya menjadi doktor yang selamat dan cemerlang.InshaAllah.

Thursday, July 14, 2011

Perjalanan Hidup Sebelum ke USMkk: Monolog


Alhamdulillah.

Tahun 2006 merupakan tahun yang amat menggembirakan aku, kerana tamatnya pengajian aku di Kolej Matrikulasi Johor. 2 bulan lebih berbaki, aku bekerja di sebuah restoran kecil. Sampai di penghujungnya, aku pun mendapat keputusan UPU, melalui SMS yang aku hantar. Aku dapat Kursus Doktor Perubatan USM. Wah! Seronok sangat pada hari itu. Tak sabar nak beritahu semua.

Dalam masa yang sama. Aku sudah mula risau bagaimana aku mahu mengatur study dan diri aku ketika di universiti nanti.

Aku banyak kelemahan yang aku rasa kelemahan aku ini tidak boleh 'dimaafkan'.
Antaranya :

- Aku tidak tahu bercakap di hadapan. Mesti gugup, terketar-ketar, berpeluh-peluh.
-Aku sangat tidak yakin pada diri. Penuh dengan rendah diri yang keterlaluan.
- Aku tidak tahu berpesatuan, memimpin atau sebagainya.
- Aku tak tahu berkawan.
- Ilmu aku terbatas pada sesetegah cabang sahaja.
- Perangai aku pula teruk, ada kala bongkak, ada kala sombong,ada kala psycho.
-Sifat pemalu mengalahkan perempuan melayu terakhir.


Itulah antara contoh kelemahan aku yang aku kenal pasti selepas aku tamat alam persekolahan dan matrikulasi. Sebab itu jugalah, aku mula mengatur langkah dengan bekerja semasa cuti tamat matrikulasi, di sebuah restoran di daerah lain yang berhampiran dengan rumah nenek aku. Maka, aku tinggal di kampung bersama nenek dan sepupu aku. Jadi, hidup aku lebih berdikari. Aku juga dapat melatih agar tidak homesick. Mahu diceritakan, kampung nenek aku ini merupakan kampung 'berhantu'. Hahaha.. Banyak sangat cerita hantu dariapda sepupu aku. Memang bila aku datang ke kampung ini dengan penuh harapan dan gembira. Baru bermalam sehari sudah  mampu mengubah pemikiran aku menjadi takut, seram dan mahu balik rumah. Tapi, itu hanya cerita sahaja. Aku terus tinggal di kampung ini sehinggalah aku masa pendaftaran sudah hampir. Tujuan aku kerja adalah untuk melatih diri bercampur dengan masyarakat. Berlatih menerima orang lain, berlatih bertutur, berlatih untuk membina keyakinan serta membaiki komunikasi. Gaji atau upah itu adalah sampingan sahaja. Aku tidak kisah pun diberi upah berapa sekalipun, apa yang penting, aku laksanakan tugas dengan baik dan penuh dedikasi. cewah! Seriusly, aku merasa aku sudah jadi kuli yang rajin bila hampir semua kerja aku lakukan sebelum sempat pekerja lain buat. Kerana aku datang lebih awal biasanya kecuali beberpa hari aku terlewat kerana terlalu letih sampai bangun pagi lambat.


Kelemahan Diri

Aku selalu menyalahkan orang lain bila melihat diriku penuh dengan kelemahan.

- Mengapa aku terlalu teruk sehingga tiada keyakinan? Dimana peranan sekolah aku selama ini? Apa mereka buat kepada kami sebagai pelajar untuk menjadi pemimpin? Berkeyakinan tinggi? Aku selalu menyalahkan sekolah kerana di sekolah inilah aku belajar segalanya. Di sekolah juga nama aku naik kerana akademik aku. Namun, aku merundum kerana aspek lain.

- Mengapa aku tidak seperti yang lain? Mampu berkawan ramai?

Rungutan demi rungutan aku tatapi. Ada kala, aku merasa diri aku ini menjadi seorang hamba Allah yang tidak bersyukur. Malah , ingin memberontak atas ketetapan Allah. Ampuni dosa hambuMu ini ya Allah.

Jadi, peluang melanjutkan pelajaran di USM Cawangan Kampus Kesihatan, di Kubang Kerian ,Kelantan amat bermakna buat aku.

2-3 minggu sebelum aku tahu aku mendapat USM ini, aku buat pertama kalinya menjejaki Kelantan untuk melawat pak cik di Bachok . Aku melawat Kelantan, bumi Islam. Aku merasa kurang selesa kerana cuacanya dan juga suasananya. Tapi aku tidak komen banyak ketika itu.Aku juga tidak tahu yang aku bakal berumah di sini selama 5 tahun.

Setelah, mendapat tahu yang USM yang dimaksudkan itu adalah di bumi Kelantan, maka aku senyap sahaja dan memikirkan apa hikmahnya?

Ternyata, ketika seminggu sebelum tarikh pendaftaran, aku jatuh sakit, demam kuat, dan tak mampu bekerja lagi. Aku berhenti kerja kerana sakit dan juga untuk sambung belajar. Alhamdulillah, bos aku terima aku seadanya.Terima kasih.

Perjalanan hidup aku hanya untuk mencapai tujuan 'berusahalah membaiki diri ke arah yang lebih baik."

Aku tahu aku banyak kelemahan.
Maka, setiap kelemahan itu mestilah dibaiki.
Untuk membaiki segala kelemahan mestilah ada niat, ada usaha,
Setiap usaha pasti ada cabaran,kenalah kita bersedia,
Malah, setiap cabaran itu memerlukan pengorbanan.
Ingatlah pengorbanan kita itu tidak sia-sia.

Apa yang utama, adalah kesediaan kita untuk berubah. Jika kita tidak serius untuk berubah, maka, lambatlah proses perubahan itu.

Bukan mudah untuk berubah , tetapi Allah tidak akan membiarkan kita bersusah payah tanpa ada hasil. Dia pasti bantu.


Yang paling penting, berdoalah pada Allah untuk dia makbulkan harapan kita. Kerana dialah Tuhan yang menetapkan segalanya. Allah akan bantu kita jika kita menjaga hak Allah.

Sehingga aku merasakan, mengapa aku diletakkan di Kelantan?
Mungkin Allah hadiahkan aku negeri ini untuk belajar, demi menjaga akidah aku, akhlak aku, dan segalanya agar aku tidak lupa pada Allah.


Malah, aku merasa bumi Kelantan seolah seperti kampung aku di Johor. Walaupun dua negeri berlainan agenda politik. Akan tetapi, asal kampung aku amat kuat usaha dalam pembaikan diri dalam agama. Di negeri Kelantan juga, suasananya penuh dengan Islam. Juga berkisar tentang agama. Maka, aku terima dengan hati penuh lega. Allah hadiah aku dengan kekuatan agama. Aku yakin inilah ketetapan Allah terhadap aku yang telah memberi peluang kejayaan setelah aku menyerahkan diri aku untuk menjadi pemuda yang ingin memakmurkan masjidnya. Itulah permulaan sebuah kejayaan aku.

Sunday, June 19, 2011

Medical Student Mesti Rajin


Banyak kali aku melihat blog, status Fb, Google talk dan sebagainya yang mengatakan, dirinya(medical student) yang malas. Selalu saja ponteng kelas, tak pergi ward. Malas buat procedure(malas atau tak tau? Tak tau atau takut?). Malah, dalam pengajian aku sendiri aku melihat pelbagai ragam manusia yang mengambil jalan pintas untuk mendapatkan sijil MDUSM.Bermaksud, duduk exam saja dan memenuhi keperluan exam sahaja tanpa ada belas tanggungjawab menjadi seorang doktor masa hadapan dengan pergi ke ward bertemu pesakit dan belajar bersama mereka.

Fuhh...!! Aku mengeluh! tertekan kerana melihat gelagat orang sebegini nampak hebat, pandai itu ini, lulus dengan baik malah ada yang cemerlang. Bagaimana mereka boleh lulus dengan cemerlang,aku tak mau persoalkan. Yang penting di sini, aku mahu katakan 'attitude' sebagai medical student mesti kena jaga.


Aku sendiri pernah ditemplak dan dimarahi kerana kesilapan aku semasa melakukan pembentangan kes dan juga melakukan pemeriksaan fizikal pesakit. Doktor kata " Kamu ni mesti malas pergi ward. Buat pun tak lancar. Nampak kekok. " Sedangkan, kami baru masuk ward tahun 4 secara mendadak untuk 'practise'' skills. Malah , nak cover teori lagi. Banyak yang perlu dipelajari. Aku terima kritikan itu. Sedangkan dalam hati aku ingin aku menangis kerana kata-katanya menunjukkan bahawa dia tak pernah ambil tau kepayahan aku belajar di hospital. Adakah dia melihat aku hampir setiap malam ke ward untuk belajar, tetapi tak ramai yang sedia mengajar? Adakah dia tahu betapa sakit lutut aku berjalan kaki setiap hari ke sana sini menambah ilmu? Aku tahu, diri aku ini lambat tangkap dalam bidang medic. Maka, usaha aku berlipat kali ganda.

Satu kisah lagi, ketika aku tersasul memberi jawapan yang silap.Seorang Dr, telah naik angin kerana kesilapan jawapan aku ,baginya itu menunjukkan aku tak tau apa yang aku cakap. Dr tadi bertanya balik kepada aku definisi dan beberapa soalan berkaitan dengan penyakit yang aku katakan. Hampir semua mampu aku berikan jawapan dengan baik. Aku juga memohon maaf,memberi jawapan yang silap, sedangkan jawapan sebenar  aku adalah yang tertulis di kertas aku. Aku tersasul ketika itu dek baru lepas membaca nota. Aku present tanpa melihat nota ketika itu, nota asal tertinggal di bilik.

Dr kata, "kamu mesti rajin rajin ke ward. Banyak clerk case dan membuat perbincangan. Kalau dalam final exam, kamu boleh failed!"

Aku tersenyum tanda tabah.

Dr tanya, " boleh ye fadzli?"

Aku kata , " InshaAllah, boleh"

Dr sambung " are you ok? ok ye?"

Aku senyum dan tunjuk tangan 'good', " I'm Ok dr! Dont worry."

Aku senyum sahaja. Dalam masa yang sama, beberapa orang chinese mengatakan kepada aku dalam bisikannya sebab takut Dr dengar. " Fadzli is too hardworking. terlalu rajin". Aku senyum saja. Seorang budak india pun mengatakan " You dah terlampau rajin. Kalau bukan no 1,you still at top 3 in our group!"

Aku senyum. Sedangkan dalam hati aku sedih kerana ada orang yang menghargai segala penat lelah aku dalam belajar. Walaupun sekadar memerhatikan aku. Paling tidak, aku telah mengharumkan Islam sebagai agama aku untuk membuktikan aku Muslim yang rajin dan amat berdisiplin. Seorang sahabat Malay Muslim, tersenyum kepada aku, dan berkata " sabar. its Ok". aku pun cool saja. Sedangkan seminggu aku tidur awal tak dapat study tapi aku masih pergi ward malam itu untuk membuktikan aku mengikut arahan Dr tersebut. Dia pula Dr yang suka cari student yang telah diberi amaran itu. Maka, aku pergi dan belajar.


Alhamdulillah.


Aku bukan berniat menunjuk, tetapi ia seolah tanggungjawab. Biasiswa yang aku ambil, adalah amanah untuk aku belajar dengan penuh dedikasi.

Sebab itulah, aku membenci sikap pelajar medic yang ambil ringan tentang tanggungjawa. Berlagak pandai. Berlagak sudah tau. Itu kisah mereka. Akan tetapi, andai diri sudah malas, sudah tidak mahu belajar, JANGAN sesekali mengajak orang lain menjadi malas seperti kamu!! Kami tak perlu orang yang MALAS.


Kalau mahu tidur masa kuliah, jangan ajak orang lain.
Kalau mahu ponteng, jangan ajak orang lain.

Sebagai pelajar medic, tak perlulah merasa genius kerana skills dan knowledge semua perlu dipelajari. Sama ada cepat atau lambat. Itu sahaja. Malah, Allah tidak pernah Zalim. Dia Tuhan yang adil. Memberi ilmu dan kemahiran kepada mereka yang berusaha mencarinya.


Andai sikap malas kamu itu tidak dikikis, maka, jadilah kamu Doktor yang pemalas.

Kamu boleh berjaya mendapat sijil tetapi kamu belum tentu berjaya memiliki hati sebagai doktor!

Aku Takut Darah Juga

Pernah aku ditanya satu soalan, saya nak jadi doktor, tapi saya takut darah. Macamana nak atasinya?

Aku pun teringat zaman sekolah dulu. Betapa banyak perkara yang aku takut. Kerana imaginasi aku yang keterlaluan. Akhirnya, aku dapat kawal juga hari ini, inshaAllah.

Pernahkah kalian tonton rancangan Medic TV?

Ketika zaman sekolah, rancangan ini sangat popular. Aku pula tidak ada semangat nak tengok.Kononnya suatu hari itu, aku cuba untuk tonton. Aku hanya menonton dipermulaan sahaja. Apabila tiba di segemen pembedahan, aku mula tak suka dan takut. Aku tutup TV dan berlalu membuat kerja lain.


Itulah kisah aku yang sebenarnya takut melihat keadaan pembedahan.

Mengapa aku pilih menjadi doktor?

Hanya Allah yang tau. Kerana aku bertawakal dan percaya pada Allah akan pilihan itu. Aku hanya memilih jawatan tertinggi yang mampu aku pilih berdasarkan kelayakan akademik aku. Setelah permohonan TESL menjadi guru Biologi tidak kesampaian,dan Bioteknologi  under MARA juga tak  kesampaian. Biasalah, aku kurang menyerlah,kurang fasih dan nampak tak yakin . Tidak mengapa, ia cabaran untuk membuat perubahan.

Hari ini, aku menerjah alam kedoktoran, dan pelajari pelbagai benda dan bergelumang dengan darah,pembedahan. Alhamdulillah, bila kita lihat kawan kita berani,kita pun akan berani. Namun, sebenarnya, antara aku dan yang lain, aku antara yang pertama menyerbu untuk ambil darah, tolong cuci pesakit yang cedera. Ia seronok kerana alam belajar.

Apa yang penting, pemikiran kita. Kita kawal.

Yakin bahawa Allah meletakkan kita di bidang itu,berdasarkan kemampuan kita.

Jadi, yakinlah.

Sunday, June 12, 2011

Budak Surau

Alhamdulillah, lama aku tidak menulis di sini tetapi hari ini aku mampu juga menulis,inshaAllah.

Berdasarkan tajuk, apa ingin kongsikan sedikit tentang diri kita sebagai Muslim dan Surau atau masjid.


Menjadi pelajar perubatan bukanlah mudah dan ia amat mencabar dalam semua aspek. Hanya kembali pada Allah,kita mampu mengharungi dengan baik. Kita mengejar akhirat dan dunia kita terbela. InshaAllah, Allah tidak pernah berlaku zalim.

Orang ke surau atau masjid pasti digelar budak surau. Ia mudah saja. Gelaran itu sama ada memerli atau memuji,aku tidak peduli. Hakikatnya, ia memudahkan perkenalan dan memberi tamparan pada mereka yang tidak pergi berjamaah.

Solat berjamaah ini bukanlah suatu permainan atau suatu yang kalau nak buat lagi bagus, kalau tak buat, tak apa. Butakah kita? Allah dah beri bukti dan Allah dah katakan betapa agungnya berjamaah dalam solat? Mengapa kita masih sombong dan angkuh? Kononnya lemah semangat. Kononnya ingin ketenangan bersendirian. Kononnya di surau tak boleh khusyuk. Kononnya aku malu kerana aku jarang ke surau. Kononnya surau hanya untuk orang baik. Kononnya aku sibuk .Kononnya solat berjamaah mengambil masa yang lama.

Banyak alasan. Teguran dan ajakan diambil remeh saja.

Aku mengaku diri aku memang mahu dan ingin saja berumah di masjid untuk berjamaah. Aku tau aku lemah semangat, aku malu, aku angkuh, aku sombong dan segala yang aku kutuk di atas banyak milik aku. Akan tetapi aku cekalkan hati untuk berubah. Kerana keyakinan aku padaMu ya Allah, mengubah segalanya. Aku berjaya ini kerana aku mengenaliMu ya Allah.

Alhamdulillah, dalam tahun akhir ini, aku masih mampu berada di surau dan berjamaah bersama yang lain. Betapa suraulah tempat aku mendapatkan ketenangan dan mengadu segala masalah. Boleh dikatakan, banyak masa aku berada di surau, sama ada untuk solat, study mahupun berehat.


Aku bincangkan ini khas buat mereka yang ingin berubah. Melalui solat berjamaah di surau atau masjid, inshaAllah, kita mampu berubah secara perlahan. Yakinlah, kerana solat berjamaah bukanlah suatu yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan. Sampai ada pelajar yang biliknya depan surau, tetapi tidak ingin masuk ke surau. Alangkah angkuhnya dia? Bermasalah? Selesaikanlah sebab selagi ada penangguhan, maka dirinya sendiri yang rugi.

Mengapa aku mahu berbincang soal solat  di sini?

Kerana untuk menjadi doktor, kita kena berwajah ceria, tenang dan ikhlas. Malah, peranagai kita juga kena baik. Pertuturan kita kena lembut dan sopan.

Semua pakej itu mampu dikecapi jika kita mengamalkan solat berjamaah dengan baik.
Solat berjamaah, mengajar kita ketepatan masa.
Mengajar kita berkumpulan dan sepakat.
Mengajar kita sedia menerima yang lain.
Mengajar kita tenang dan tidak terburu-buru.
Mengajar kita erti patuh pada pemerintah yang betul.


Aku pernah dan banyak kali terlewat ke kelas yang diaturkan pada pukul 2pm, sedangkan waktu solat Zohor pada pukul 1.30pm dan ada kala lewat mula berjamaah. Namun, belum pernah dimarahi pensyarah pun. Mereka semua tahu umat Islam mahu solat. Pensyarah bukan Islam pun faham.

Pernah pesakit berkata .

" Saya dengar suara doktor pelatih, lembut, baik . Dengar pun dah boleh baik sakit. "

Alhamdulillah, pujian buat pelajar perubatan USM. Inilah yang kita mahu!

Dalam masa yang sama, saya lihat betapa serabutnya pelajar medic yang mengabaikan solat berjamaah, tetapi masih jaga solat,alhamdulillah. Mereka terumabng ambing mengejar dunianya. Seolah solat kerana takut Allah tak beri mereka kejayaan. Malah ada juga minta lebih sedangkan ibadat kepada Allah cincai saja.


Berikanlah kami kekuatan Ya Allah. Aku tahu diriku ini jahil dan amat lemah. Pergantungan kami hanya padaMu. Aku merayu padaMu untuk Kau bantu dalam segala hal kami.

Saturday, May 7, 2011

Berhati -hati Dengan Pujian



Dalam hidup ini, kalau kita dipuji, alangkah indahnya terasa dan amat bererti segala apa yang kita lakukan. Pujian yang mengatakan kita hebat, pandai, cantik atau kacak dan sebagainya. Hakikatnya, dalam dunia pengajian aku di dalam bidang perubatan, jarang sekali aku dipuji, tetapi banyak kali aku dikutuk oleh lecturer. Pujian banyak datangnya daripada sahabat atau rakan-rakan seperjuangan. Ada kalanya ia membawa erti dan ada kalanya ia membawa bahaya.

Untuk pelajar medic, anda mungkin tau narrow therapeutic index. Begitu juga dengan pujian. Pujian ini memiliki narrow therapeutic index. Ia umpama ubat untuk menyembuh kepahitan hidup, tetapi jika berlebihan, maka ia akan membunuh. Itulah maksudnya.

Pujian yang paling aku ingat dan amat bermakna  ada dua iaitu ketika di posting anesthesiology dan Paediatric.
Semasa di posting anesthesiology, seorang Dr(Master student), bertanya kepada kumpulan kecil yang terdiri daripada aku dan 3 orang sahabat yang lain. Pelbagai soalan diajukan. Alhamdulillah, aku lebih bersedia dalam menjawab soalan tersebut kerana aku mengulangkajinya sebelum masuk ke kelas. Memang banyak juga soalan diajukan dan kebanyakan soalannya sudah aku tahu jawapannya. Maka, ketika itu , Dr memuji aku, " Baguslah kamu. Sudah bersedia". Ketika itu,aku hanya menganggukkan kepala dan tersenyum kelat kerana segan dan terasa takut jika ada sahabat lain yang akan terasa mereka belum bersedia. Khuatir mereka tertekan. Maklumlah, dalam kumpulan aku, ramai yang pandai-pandai dan hebat. Khuatir juga mereka buat muka masam bila berdepan dengan aku. Ini kisah biasa dalam kehidupan aku. Mereka yang tidak puas hati akan masam muka dan tidak melayan aku. Huh.. hidup yang amat payah sehingga membuat aku menyampah.

Kisah kedua, ketika aku exam posting paediatric, tahun 5. Alhamdulillah, ketika itu Dr yang terlibat merupakan Dr yang killer juga. Namun, setelah habis exam, beliau berkata " You did well. Just polish your skills and try to present your answer in a better way. Good job! ". Ketika ini, aku berasa amat bersyukur. Mendapat pujian daripada Dr yang jarang memuji. Fuhhh.... Dalam masa yang sama, dalam 5 mingu berada di posting ini, aku telah banyak kali mendapat kritikan hebat daripada Dr-Dr lain kerana kesilapan dalam presentation yang tidak disengajakan. Aduhai. Namun, ia tetap menjadi kesalahan dan ia mengajar aku. Jadi, sepanjang minggu-minggu itu, aku berada dalam keadaan tertekan sampai 3-4 hari selepas dikritik, aku tidak boleh fokus study dan tidur awal. huh..





Pujian dalam dunia perubatan ini nampak indah kerana kita berada di antara pelajar yang cemerlang. Maka, jika dipuji, terpancar kehebatan kita. Namun, jika anda tidak biasa mengendalikan pujian, usahlah mengharap dan bergelumang dengan pujian. Ia amat bahaya.

Pujian menyebabkan kita terleka, kita terasa diri hebat. Hati yang ego bertambah keegoaannya. Hati yang bongkak bertambah kebongkakkannya. Maka, apalah nilai pujian  jika ia hanya merosakkan. Cukuplah anda mendengar pujian itu dan simpan setelah mengucapkan terima kasih. Gunakanlah ia sebagai pencetus kemajuan bukannya pencetus kesempurnaan, yang menyebabkan anda semakin lupa diri.

Nasihat aku  buat orang yang suka memuji :

Jika anda memuji untuk menjatuhkan orang lain dengan cara memuji itu menyebabkan kawan anda atau sesiapa sahaja merasa sempurna atau hebat,maka hentikanlah tabiat keji anda! Hentikanlah! Aku membenci golongan ini.

Usah memuji jika ia mungkin merosakkan sahabat aku. Aku sendiri kurang memuji dan tidak suka menerima pujian terutamanya daripada rakan-rakan disekeliling yang murah(pujian yang tak kena tempatnya) dengan pujian.


Cukuplah kita mendoakan sahabat kita dengan doa yang baik berbanding memuji mereka sedangkan pujian itu mungkin tidak ikhlas dan bakal merosakkan sahabat kita.

Hari ini kalian berseronok dengan kejayaan, tetapi sahabat yang menerima pujian anda sedang berduka menahan sebuah kegagalan.

Wednesday, May 4, 2011

17 April 2011 - 24 April 2011

Tarikh di atas merupakan tarikh aku menduduki peperiksaan akhir, Ikhtisas III . Alhamdulillah, exam ini dapat dilalui dengan baik dan aku pula sudah menerima keputusannya.

Hari ini genap aku sudah seminggu lulus dalam exam untuk menjadi seorang doktor. Alhamdulillah.

Liku-liku tahun akhir amat hebat, tetapi ia amat menyeronokkan sebabnya aku dapat merapatkan ukhwah bersama rakan-rakan yang lain kerana study bersama dan berkongsi ilmu serta pengalaman. Alhamdulillah, tidak sia-sia aku mengumpul pengalaman dan ilmu. Bukan setakat untuk diri, malah jika dikongsi bersama, aku akan dapat pengalaman baru, merapatkan ukhwah serta bertambah keyakinan aku. Inilah yang Allah janjikan, jika kita bersyukur, maka Allah akan tambah nikmat kita.

Kemanisan ilmu bila kita mengamalkannya dan berkongsi dengan orang lain.

InshaAllah, blog ini, aku khaskan untuk aku catatkan perjalanan,nasihat dan amaran ketika hidup di universiti. InshaAllah,aku juga akan mengisi sebahagian hidup sebagai seorang selepas tamat pengajian perubatan USM.

Lama sudah blog ini terkunci, hari ini aku buka untuk diisi dengan perkara yang baik-baik.

Wednesday, March 16, 2011

Perubahan Dalam Duniaku




Tahun 1 vs Tahun 5

Perbezaan daripada sifat sabar. Pasti berbeza. Huh. Macamana aku ukur? Haha. Ia sukar diukur tapi dapatlah dilihat melalui beberapa peristiwa.

Bila pergi kedai makan...

Kalau tahun satu, bila waiter lambat, mulalah aku tunjuk muka dan nak marah. Tak da lah nak senyum. Bagi aku,kalau tugas nak jual makanan, mestilah layan pelanggan dengan baik.

Bila dah masuk tahun 5, tahun akhir, aku mula mengawal sifat sabar. Cuba berlagak cool walaupun dekat setengah jam tunggu waiter yang tak ambil order air . Ada kala, sampai habis makan, waiter air tak sampai2. Aku jenis yang diam, malas berbunyi macam pelesit. Kalau depa tak mahu ambil order,aku lagi malas nak order. Yup, mereka lagi tua,tapi bagaimana harus menempah makanan agar lebih menghormati .

Pernah aku merasa, kenapa aku sombong dengan orang lagi tua? Abang-abang yang ambil order lebih tua. Aku kena hormat. Hmmm... Aku pun tak tahu bagaimana cara terbaik untuk membuat order agar aku sangat menghormati mereka.


simpati dan takut.

Tahun satu, aduhai. Bila melihat mangsa kemalangan atau pesakit dalam ward,mulalah aku berasa simpati dan sedih dengan keadaan mereka. Malah, sebelum masuk USM ni, aku memang ada sifat takut dan gementar bila berdepan dengan situasi yang bergelumang dengan darah.

Namun, semuanya beransur matang. Hidup ini pasti berubah ke arah yang lebih baik jika memilih untuk menjadi baik. InshaAllah. Allah akan bantu. Masuk tahun 5. Aku berasa amat bersyukur kerana kepayahan lalu banyak mengajar aku. Alhamdulillah. Bila diberi peluang itu, aku berusaha dengan gigih dengan pertolongan kawan -kawan dan semua yang ada di sekitar aku. Aku mula belajar satu per satu daripada pengalaman mereka. Walaupun ada kala aku mengeluh kerana banyak ketinggalan, namun, aku tetap teruskan memperbaiki diri. Perasaan takut dan gementar hilang demi misi menyelamat pesakit. Jarum dan pembedahan adalah perkara yang kerap dilihat dan disertai. Jadi, peluang ini banyak mengajar kekuatan dalaman agar serius dalam membantu orang.

Hari ini bila diminta untuk membantu doktor ambil darah, inshaAllah, aku yakin untuk tolong. Sehingga aku sudah boleh jadi tukang ajar adik-adik medic yang lain yang baru belajar. Huhu.. Sejak pertama kali aku cuba mengambil darah dan ia berjaya, alhamdulillah, aku terus mantapkan diri. Mangsa pertama yang kena ambil darah oleh aku adalah member aku sebelah bilik ni, JACKNAIM, pergh! ana nampak urat budak ni, semuanya blur! Tapi, pada masa itu juga,datang seorang nurse, katanya, ini senang je, kamu rasa je urat/vein budak ni yang kenyal. What?? Senang ke mak cik?! aduhai.. sabar je lah den. 

Aku mencuba, alhamdulillah, memang terkena sasaran. Maka, berbunga perasaan yakin dan aku dengan semangat menuju mangsa kedua iaitu abang yang ada demam denggi. Biasanya kena ambil darah setiap 2-3  kali sehari bergantung pada keperluan. Macam tulah kot, aku lupa lah berapa kali kena ambil darah untuk pesakit denggi. Maaf kalau silap. Ambil darah sebab nak lihat jumlah platlet dan juga kepekatan darah. 

Inilah pengalaman aku, untuk perkongsian di blog Pengalaman Aku dalam Dunia Medic.

Semoga Allah berkati kita semua.

Wednesday, March 9, 2011

Motivasi : Dunia Pengajian: Belajar untuk menuntut ilmu dan sedia mengajar



Alhamdulillah, kali ini dapat juga aku tuliskan beberapa pengalaman yang aku ingin kongsikan. Dalam saat genting ini, iaiatu tinggal 38 hari lagi mahu menduduki peepriksaan akhir Tahun 5 pelajar perubatan,aku masih mampu luangkan masa untuk menulis.
Semoga tulisan ini memberi sesuatu makna yang baik buat semua.

Dunia pengajian di universiti amat berbeza. Berani  saya katakan, bidang perubatan memiliki cabaran yang amat hebat yang tidak terselam dasarnya . Mengapa?

1.       Kerana topic dan ilmu yang perlu dipelajarinya luas.

2.       Berurusan dengan makhluk bergelar manusia. Yang memiliki pelbagai ragam dan berbeza keadaan.

3.       Memerlukan soft skill yang banyak.

4.       Semuanya itu perlu dikuasai dalam masa yang terhad.

5.       Persediaan awal belum tentu menjanjikan yang terbaik. Mengapa? Kerana banyak ilmu yang kena pelajari sehingga sukar untuk mengulangkaji pelajaran lalu. Melainkan dengan beberapa cara.

Berbincang   cabaran No 1. Bidang perubatan ini bukanlah seperti SPM yang boleh dianggap mudah dengan membuat latihan kita akan dapat score A++. Percayalah, dunia medic memerlukan kekuatan minda yang baik, rajin, tenang dan sedia mengharungi cabaran. Jika anda seorang yang lemah, usahlah gentar, kerana ramai sahaja pelajar perubatan yang lemah itu dan ini. Pemalu, penakut, pemalas dan tidak yakin. Namun, semuanya berubah kerana ingin memastikan matlamat mereka tercapai. Matlamat itulah yang membezakan kita semua. Ada yang rajin kerana mahu dapatkan title DR. Ada yang rajin untuk menjadi seorang Dr yang baik. Ia berbeza dan abstrak. Maka, jika anda ingin menjadi Dr, maka buatlah dan binalah pendirian anda mengikut lunas agama Islam. Kerana, agama Islam dan kekuatan kita terhadap agama Islam banyak membentuk diri anda sebagai seornag insan yang mulia. Percayalah, jika anda memiliki kekuatan agama yang baik dan sentiasa patuh akan arahan agama, inshaAllah tiada masalah dalam pengajian. Anda diajar menepati masa, anda diajar berjamaah , anda diajar berkata dengan kata-kata baik, anda belajar untuk menghormati orang lain, anda diajar untuk menjaga adab dan aurat. Ia semuanya ada dalam agama Islam.  Untuk menjadi Dr, nilai agama itulah yang kamu semua dan saya sendiri belajar. Ia mudah jika kita mentaati agama. Allah Maha Besar. InshaAllah, kita semua mampu melakukannya.

Beberapa pesakit berkata, “ saya lihat pelajar perubatan dan doktor, kalau mereka bercakap, alahai lembutnya. Dengar suara pun boleh baik dah sakit.”
Seorang pelawat mengatakan “ oh, mesti mereka diberi kursus untuk belajar bagaimana bercakap dengan pesakit”
Ketika itu, saya hanya berdiam diri dan tersenyum dengan kata-kata mereka. Mengapa saya diam? Kerana apa yang diajar dalam dewan kuliah, bukanlah jalan terbaik untuk meningkatkan kekuatan soft skills, contohnya- bagaimana bercakap dengan pesakit. Ia biasanya dan kebanyakannya lahir daripada hati yang baik. Malah, pesakit juga mampu menilai bagaimana seseorang itu bercakap. Saya sendiri juga dapat merasai bagaiamana pesakit memandang dan menilai  saya ketika bercakap dengannya. Ia rumit. Namun husnuzan adalah jalan terbaik. Jarang ada kursus dalam mengasah soft skils.

Cuma nasihat atau perkongsian daripada diri ini, saya seorang yang lemah dan tidak pandai bercakap,pemalu mengalahkan seorang perempuan. Pemarah dan suka bersangka buruk. Ia sifat negatif yang perlu dikenalpasti. Namun, ia bukanlah untuk semua orang kutuk atau hina, tetapi ia sesuatu yang perlu dibaiki. Apa perancangan aku untuk menghapuskan  semua sifat itu?

Aku menyertai pelbagai aktiviti kampus yang ada interaksi banyak pihak dan menguji keyakinan diri. Contohnya menjadi fasilitator, bersajak, nasyid, menjadi ahlijawatankuasa program dan sebagainya. Namun aktiviti yang paling berkesan adalah MSFT. Apakah itu? Carilah.

To be continued…..

Saturday, January 22, 2011

Langkah yang kita kena lalui

Aku tak suka :
1. Orang yang suka mencuba menyakiti aku.
2. orang yang cuba menguji kesabaran aku.
3.Orang yang suka membuat cerita dan menokok nambah.
4.Orang yang membangkitkan sesuatu maslaah yang sudah selesai.
5. Orang yang pandai 'berlakon' baik.

Tapi yang tak suka inilah yang akan  datang. Mereka pun akan menyatakan perkara yang sama pada orang lain.

Sebab itu muhasabah diri penting. Jika mereka tidak berlatih dalam mengurus diri sendiri, bagaimana mahu mengharap orang lain berlaku baik padanya. Sedangkan diri bersifat dajjal tetapi mahukan kawan bersifat malaikat. Layakkah? Pastinya suatu yang amat mustahil dan tidak adil untuk dimakbulkan. Melainkan, mereka yang bersifat buruk itu berazam dan bertaubat untuk kembali kepada fitrah menuju Ilahi.

Sunday, January 16, 2011

Apa Pandangan Aku Tentang Universiti Sewaktu Aku di Alam Persekolahan?


Bila ditanya tentang medic, apa yang kamu fikir tentang medic ketika zaman sekolah?

Apa yang mampu aku jawab, ia adalah bidang yang hebat dan hanya orang yang pandai layak menjadi seorang doktor. Orang yang pandai berbahasa Inggeris sahaja layak menjadinya. Tidak cukup di situ, orang yang kaya biasanya menguasai bidang ini kerana kos yang mahal perlu ditanggung oleh pelajar medic. Sangkaan yang tinggi ini membuatkan aku membenci medic sedikit demi sedikit. Sehingga dalam fikiran aku semasa di tingkatan 5, tiada langsung terfikir untuk menjadi doktor. Aku hanya mengimpikan untuk menjadi seorang guru yang hebat dan berbakti kepada masyarakat tentang ilmu. Aku mahu jadi seorang guru yang mampu melahirkan pelajar cemerlang yang ramai terutamanya pelajar luar bandar. Dalam fikiran aku ketika di tingkatan 5,doktor adalah pekerjaan yang membosankan dan meletihkan kerana duduk di klinik atau ward semata-mata. Tak ada interaksi atau bergaul dengan masyarakat. Bergelumang dengan darah yang jijik,najis dan kotoran. Terpaksa bersengkang mata sampai lewat malam. Pasti ia amat meletihkan dan membosankan.

Secara ringkas,doktor bagi saya adalah:
-    Membosankan
-    Meletihkan
-    Menjijikan
-    Tak kreatif dan menjana pemikiran yang lebih tajam
-    Katak di bawah tempurung
-    Anti-sosial
-    Tiada kehidupan yang bebas
-    Penuh tekanan.
-    Hanya orang yang kaya mampu memiliki takhta.
-    Hanya orang yang bijak pandai memilikinya gelaran doktor.
-    Hanya orang yang pandai berbahasa Inggeris sahaja layak menjadi doktor.

 Namun, hakikat sebenar menjadi doktor adalah seperti apa yang aku lalui sepanjang lima tahun ini. Doktor adalah bidang yang amat hebat dan ia amat berharga.

Adakah apa yang aku fikirkan itu tepat, atau ia suatu kesilapan besar, atau ia suatu yang boleh dikatakan benar ?  Mengapa aku memilih untuk menjadi doktor pula?Bacalah entri seterusnya. InshaAllah,saya akan ceritakan sedikit.